Bekas PAT: Mahkamah tetapkan 5 Ogos untuk lengkapkan serahan dokumen

Bekas PAT: Mahkamah tetapkan 5 Ogos untuk lengkapkan serahan dokumen

MOHD. Nizam Jaffar ketika hadir bagi prosiding kes pecah amanah berjumlah RM3 juta dan salah guna kedudukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 5 Ogos depan untuk pihak pendakwaan melengkapkan penyerahan semua dokumen berkaitan kes bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.

Ia selepas pihak pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip memaklumkan masih terdapat satu jilid dokumen yang dalam proses untuk dikumpulkan.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan jilid ketiga dokumen kes kepada pihak pembelaan selain masih menunggu satu lagi jilid tambahan yang sedang diperoleh daripada agensi berkaitan.

“Dokumen tambahan itu akan diserahkan sebaik sahaja diterima bagi melengkapkan proses penzahiran dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” kata pendakwa raya itu.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan telah menyerahkan 23 dokumen termasuk rakaman percakapan dan minit mesyuarat untuk digunakan pada perbicaraan kes.

Sementara itu, peguam bela, Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd. Nizam mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen berkenaan.

Pada 23 Januari lalu, Mohd. Nizam mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 dan satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.

Bagi dua pertuduhan pertama, Mohd. Nizam yang pada ketika itu merupakan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyalahgunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM552,481.90 bagi Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025.

Tertuduh didakwa ketika mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah melantik lima syarikat bagi kerja-kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, tuala mandi dan beg galas kepada TKAT yang mana beliau mempunyai kepentingan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 Jun 2024 di Kementerian Pertahanan, 15, Jalan Padang Tembak dekat sini.

Bagi pertuduhan ketiga, pada 4 Oktober 2024, di tempat sama, Mohd. Nizam ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan (TKAT) didakwa pecah amanah wang RM3 juta milik pertubuhan itu dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa itu.

Bagi pertuduhan keempat, Mohd. Nizam sebagai PAT ATM telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat yang diketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan olehnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN