Penyedia platform p-hailing perlu sedia pilihan barangan tidak halal

Penyedia platform p-hailing perlu sedia pilihan barangan tidak halal

ISU keraguan apabila makanan halal dan haram bercampur dalam satu beg penghantar makanan yang sama.-UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penyedia platform p-hailing perlu mengemaskini tetapan aplikasi dengan mewujudkan pilihan pengecualian pesanan barangan tidak halal khusus untuk penghantar beragama Islam tanpa menjejaskan penilaian prestasi atau kelayakan insentif mereka.

Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu pen­ting bagi memastikan hak dan pegangan agama pekerja gig te­rus terjamin tanpa menjejaskan mata pencarian mereka.

Menurutnya, ekonomi gig di negara ini tidak seharusnya berkembang pesat daripada sudut teknologi semata-mata sebaliknya perlu dibina atas prinsip keadilan sosial dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

​“Penghantar p-hailing merupakan tulang belakang kepada ekosistem perkhidmatan digital negara. Penetapan sistem algoritma atau kadar penerimaan pesanan yang menghukum atau memberi implikasi ekonomi kepada penghantar muslim hanya kerana mempertahankan pegangan agama adalah satu kelemahan sistemik yang perlu diatasi segera.

​“Teknologi sedia ada sepatutnya memudahkan agihan tugasan bukannya meletakkan pekerja dalam dilema antara tuntutan agama dan mata pencarian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini menegaskan, algoritma tidak boleh menghukum pekerja ke­rana pegangan agama dan menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama dalam sistem masing-masing.

Melalui mekanisme itu, PPIM menyatakan bahawa penghantar muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

Mohd. Sharkar berkata, MyGiG juga menyokong kenyataan PPIM supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan libat urus bagi merangka satu garis panduan yang jelas dan praktikal mengenai hal itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini