JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba menawarkan pengalaman luas sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan bagi membantu memperkukuhkan agenda Maju Johor 2030.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, gabungan calon berpengalaman dan muka baharu yang diketengahkan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri secara lebih menyeluruh.
“Terima kasih kepada Presiden UMNO, pimpinan parti dan kepimpinan negeri yang membawa gabungan calon berpengalaman serta calon muda dalam usaha menjayakan misi Maju Johor 2030.
“Gabungan pengalaman dan tenaga baharu ini dijangka memantapkan lagi misi tersebut dan saya akan memberikan yang terbaik untuk mewakili kawasan saya,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon BN PRN Johor ke-16.
Tambah beliau, pembangunan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu dipastikan turut memberi manfaat kepada seluruh negeri termasuk kawasan utara Johor.
“Kita mahu limpahan pembangunan itu bukan hanya tertumpu di selatan Johor tetapi turut sampai ke kawasan utara negeri ini,” katanya.
Mengenai keyakinannya bertanding di DUN Parit Raja, katanya, hubungan erat yang dibina bersama penduduk sejak sekian lama menjadi kekuatan utama.
“Saya tawarkan pengalaman saya dan saya sudah lama menjaga kawasan itu. Saya mengenali ramai pengundi dan sentiasa bersama mereka dalam pelbagai keadaan. Kita sudah bawa pelbagai agenda pembangunan termasuk pembangunan pendidikan di kawasan berkenaan.
“Siapa yang kuat berkempen dan menemui lebih ramai pengundi akan memperoleh kelebihan. Ketika saya jadi ADUN antara 2008 hingga 2014, saya bawa agenda pembangunan pendidikan termasuk memperkasakan Kolej Yayasan Pelajaran Johor yang kini berkembang menjadi Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor.
“Selain itu saya juga pernah mencadangkan penubuhan universiti di Johor dan yang terbaharu membawa masuk institusi latihan kemahiran Johor (SKILL Johor) di kawasan Ladang Yayasan. Agenda memartabatkan kecemerlangan institusi pengajian tinggi memang dekat dengan saya,” katanya. – UTUSAN










