Bayi jantung berlubang perlu RM100,000 untuk pembedahan

Bayi jantung berlubang perlu RM100,000 untuk pembedahan

MOHAMAD Yafiy Darwish Mohamad Faizal tersenyum riang sambil diperhatikan ibunya, Mashitoh Mat Isa (belakang) ketika dirawat di sebuah hospital di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Di sebalik wajahnya yang kelihatan aktif dan sihat, tiada siapa menyangka bahawa anak kecil itu kini sedang menderita selepas didiagnosis menghidap jantung berlubang beberapa bulan selepas dilahirkan.

Ibunya, Mashitoh Mat Isa, 39, berkata, anaknya, Mohamad Yafiy Darwish Mohamad Faizal yang kini berusia setahun disahkan menghidap penyakit jantung kongenital yang kompleks iaitu Tetralogy of Fallot oleh doktor yang merawatnya.

Kata ibu kepada empat anak itu lagi, keadaan tersebut menyebabkan struktur jantung anak bongsunya tidak normal selain saluran arteri pulmonari­nya juga didapati kecil dan perlu pembedahan dengan segera.

“Semasa dilahirkan, anak saya alami jangkitan bakteria akibat terhidu mekonium (najis bayi) dan terpaksa dirawat selama enam hari di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Ketika berusia enam bulan pula, dia mengalami batuk berterusan yang tidak menunjukkan tanda-tanda pulih sebelum doktor mendapati bunyi tidak normal pada pernafasannya,” katanya di sini, baru-baru ini.

Jelas Mashitoh, doktor yang merawat anaknya juga memaklumkan bahawa jantung bayi malang itu ketika ini tidak dapat menyalurkan darah beroksigen ke seluruh badan dengan sempurna.

“Walaupun dia (anak) masih belum mengalami simptom seperti kulit kebiruan (sianosis) atau sesak nafas yang ketara, doktor kata, penyakit itu tidak akan sembuh dengan sendiri dan hanya boleh dirawat melalui pembedahan bagi membaiki kecacatan jantung serta memulihkan aliran darah yang normal,” katanya.

Mashitoh berkata, pembedahan segera itu bagaimanapun memerlukan dana yang tinggi iaitu sehingga mencecah RM100,000 sedangkan dia hanya seorang suri rumah manakala suaminya, Mohamad Faizal Mohd. Noor, 44, pula bekerja sambilan selaku pembantu pengusaha kebun mangga selain turut menjual buah tersebut di tepi jalan.

Sehubungan itu, dia dan suaminya terpaksa memohon bantuan daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare bagi mengumpul dana bagi membolehkan pembedahan disegerakan.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu keluarga dari Perlis itu mengumpul dana seperti yang diperlukan bagi tujuan pembedahan selepas menyemak latar belakang mereka.

Orang ramai boleh salurkan bantuan ke akaun Public Bank atas nama One Hope Charity & Welfare nombor 3193433435 atau melalui laman sesawang www.onehopecharity.org selain menghubungi beberapa talian hotline termasuk 04-539 9212 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN