KUALA LUMPUR: Dalam keterujaan menanti kepulangan isteri tercinta, pelakon dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim mengakui banyak perbezaan yang berlaku sepanjang Datin Lisa Surihani pergi menunaikan ibadah haji.
Menurut Yusry, sebahagian rutin harian yang sebelum ini digalas sepenuhnya oleh aktres itu, termasuk perihal anak-anak kini menjadi tanggungjawabnya buat sementara waktu.
“Banyak perbezaan apabila ketiadaan Lisa di sisi saya. Paling ketara adalah dari segi sokongan. Contohnya, dia tidak hadir ke majlis pelancaran lagu hari ini (Jumaat).
“Selama kami berkahwin, dia sentiasa bersama saya. Sewaktu menjalani penggambaran drama Dendam Seorang Mentua pun dia datang ke lokasi penggambaran untuk memberi semangat.
“Tambah pula, buat masa sekarang saya perlu mengendalikan segala perihal rumah tangga seorang diri, termasuklah menghantar dan ambil anak-anak dari sekolah serta periksa kerja sekolah mereka,” katanya.
Yusry berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Jiwa dan Raga serta tayangan perdana episod 25, pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Dekat Padamu itu mengakui ketiadaan Lisa juga membuka matanya tentang besarnya pengorbanan seorang ibu dalam memastikan segala perihal rumah tangga terjagaz
“Selama ini saya ambil mudah dan biarkan dia uruskan segalanya sendiri. Sekarang saya menjadi seorang bapa yang menguruskan perihal rumah sepenuh masa. Saya sedar banyak kerja seorang ibu.
“14 tahun berkahwin, kami tidak pernah berenggang dan berjauhan lama seperti ini. Saya tidak boleh banyak mengeluh kerana dia pergi beribadah. Dia akan balik tidak lama lagi.
“Saya juga selalu pesan kepada anak-anak jika rindu kepada ibunya jangan mengeluh. Bersyukur saja dan doakan segalanya berjalan dengan lancar dan menganggap masa bergerak pantas,” jelasnya.
Ditanya mengenai persiapannya menanti kepulangan isteri tercinta, Yusry enggan berkongsi sebaliknya sudah mempunyai perancangan untuk membuat kejutan untuk aktres itu.
“Lisa dijangka pulang pertengahan bulan ini. Soal persiapan, saya tidak mahu beri tahu. Nanti dia baca,” selorohnya.










