IPOH: Penyertaan pelajar politeknik dan kolej komuniti dalam Askar Wataniah perlu terus diperkasa bagi melahirkan generasi muda yang berani, berintegriti serta mempunyai daya tahan tinggi dalam menghadapi cabaran semasa.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, negara memerlukan anak muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kekuatan mental, disiplin dan semangat patriotisme yang tinggi.
Katanya, dunia hari ini semakin mencabar dan negara tidak mampu mempunyai generasi muda yang lemah serta mudah mengalah apabila berdepan kesukaran.
“Negara memerlukan anak muda yang berani, berintegriti dan berdaya tahan sebagai pemimpin masa depan.
“Justeru, Tentera Darat Malaysia melalui Bahagian Pasukan Simpanan akan terus komited menyediakan modul latihan yang relevan, berkualiti dan berkesan kepada anggota Askar Wataniah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) Siri Ke-17 di Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.
Menurut beliau, MALPTAAC bukan sekadar perkhemahan tahunan, sebaliknya medan latihan yang membentuk jati diri, keberanian dan ketahanan fizikal serta mental peserta.
Katanya, latihan seperti kawad, lapang sasar, multi relay, merentas halangan dan program Jiwa Murni menjadi medan menguji keberanian, kepimpinan serta semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
“Semua pengalaman itu bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi medan ujian yang mengajar peserta untuk bertahan ketika ditekan, memimpin apabila diperlukan dan kekal setia kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelajar TVET yang menyertai Askar Wataniah memiliki nilai tambah besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kepelbagaian kemahiran dalam bidang kejuruteraan, mekanikal, elektrikal, perdagangan, teknologi maklumat dan hospitaliti.
“Graduan TVET kini merangkumi sebahagian besar tenaga kerja negara dan potensi itu perlu dimanfaatkan secara aktif menerusi pasukan simpanan demi memperkukuh pertahanan negara,” katanya.
Program MALPTAAC Siri Ke-17 menghimpunkan pelajar Askar Wataniah dari politeknik seluruh negara menerusi pelbagai latihan ketenteraan dan aktiviti pembangunan sahsiah sepanjang program berlangsung. – UTUSAN










