KUALA LUMPUR: ASEAN sedang meneliti pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam usaha menangani krisis yang berlaku di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun terdapat sedikit perkembangan di Myanmar, negara itu masih belum mencapai kemajuan seperti dipersetujui pemimpin ASEAN menerusi 5PC yang kekal menjadi kerangka utama ke arah pemulihan keamanan.
Katanya, ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina sebelum ini, pemimpin serantau bersetuju supaya Menteri-Menteri Luar ASEAN mengadakan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar bagi menilai perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah seterusnya.
“5PC itu tetap akan ada, tetapi sekarang pemimpin ASEAN mahu Menteri-Menteri Luar memikirkan bagaimana kita bersama Myanmar mengurus pelaksanaannya.
“Jika perlu diubah suai sedikit, ia mesti mendapat kelulusan ketua-ketua negara ASEAN,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai sama ada pendekatan baharu diperlukan memandangkan Myanmar masih gagal mematuhi 5PC bagi menyelesaikan krisis di negara itu.
Mohamad berkata, Malaysia turut mencadangkan supaya gencatan senjata enam bulan yang dilaksanakan Myanmar dan dijadual berakhir penghujung Julai ini kemudian disambung sebagai fasa kedua ke arah usaha damai yang lebih menyeluruh.
Katanya, Malaysia juga menggesa Myanmar menyediakan pelan hala tuju yang jelas bagi meneruskan proses keamanan termasuk melaksanakan dialog terangkum bersama semua pihak berkepentingan.
“ASEAN tidak mahu Myanmar terus dipinggirkan kerana keadaan itu boleh mewujudkan kekosongan yang membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar sekali gus menjejaskan usaha penyelesaian konflik di rantau ini.
“Kita tidak mahu meninggalkan satu vakum yang akhirnya diisi oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan tertentu sehingga merumitkan lagi keadaan di Myanmar dan juga ASEAN.
“Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan Myanmar, National Unity Government (NUG), People’s Defence Force (PDF) serta kumpulan bersenjata etnik bagi menyokong usaha perdamaian yang diterajui ASEAN,” katanya. – UTUSAN










