PETALING JAYA: Aplikasi MyGOV mencatatkan lebih daripada 2.2 juta pengguna rakyat Malaysia, sekali gus menyerlahkan usaha berterusan GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital untuk memperkasakan ekosistem kerajaan digital negara.
Platform itu menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan bersepadu yang semakin berkembang dengan perkhidmatan tambahan diperkenalkan secara berperingkat.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh dan menyokong transformasi digital sektor awam yang lebih menyeluruh.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aplikasi MyGOV mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menambah baik akses rakyat Malaysia kepada perkhidmatan digital kerajaan.
“Seiring dengan peningkatan penggunaan, platform ini terus dipertingkatkan secara berperingkat bagi meningkatkan kebolehskalaan, prestasi sistem dan pengalaman pengguna yang lebih baik.
“Hala tuju jangka panjangnya adalah untuk memperluas ekosistem perkhidmatan secara berfasa bagi memastikan integrasi dilaksanakan secara mampan dan selaras dengan keperluan pengguna serta kesediaan sistem.
“Ini termasuk usaha mempertingkatkan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan dan manfaat kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Aplikasi MyGOV yang diperkenalkan pada Ogos 2025, kini menyediakan akses kepada 51 perkhidmatan merentas 19 agensi kerajaan ke dalam satu platform tunggal.
Selaras dengan penyampaian perkhidmatan digital, aplikasi itu menyepadukan fungsi daripada sistem-sistem utama secara progresif, termasuk MySejahtera, MyJPJ, Semakan Harga Barangan Terpilih (PriceCatcher), Portal Manfaat dan juga Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Dalam pada itu, menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, aplikasi MyGOV akan memperkenalkan penstriman perlawanan yang dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Pengguna yang telah berdaftar dengan Mydigital ID akan dapat menonton secara siaran langsung menggunakan peranti mudah alih masing-masing, selain platform siaran sedia ada.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, infrastruktur awam digital yang bersepadu juga amat penting bagi menyokong fasa seterusnya dalam kemajuan teknologi negara.
“Kerajaan yang saling berhubung merupakan prasyarat kepada masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan.
“Dengan menyatukan platform pelbagai agensi di bawah ekosistem MyGOV, kita sedang membina asas data yang bersih dan saling beroperasi yang diperlukan bagi membolehkan pelaksanaan kecerdasan buatan pada skala yang lebih luas.
“Matlamat utama kita adalah untuk beralih daripada penyampaian perkhidmatan awam yang bersifat reaktif kepada pengalaman rakyat yang bersifat ramalan dan disesuaikan mengikut keperluan individu.
“Ini sekali gus mengukuhkan laluan Malaysia ke arah menjadi sebuah Negara Al yang terkemuka menjelang 2030,” katanya. –UTUSAN










