KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menempelak pemimpin parti Kancil, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sekiranya mendabik dada untuk mengatakan mereka adalah pejuang reformasi.
Kata Faezuddin Puad, ini kerana reformasi PMX Anwar Ibrahim adalah tokoh sebenar reformasi yang telah melaksanakan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) bagi mengawal disiplin kewangan negara.
“Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sendiri pernah berada dalam kerajaan dan melihat sendiri bahawa proses reformasi sedang berjalan serta memerlukan ruang dan masa untuk dilaksanakan,
“Antara reformasi yang telah dimulakan oleh Kerajaan Madani pimpinan Anwar termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) bagi mengawal disiplin kewangan negara.
“Ini termasuk pengukuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, usaha memperkukuh tatakelola dan ketelusan perolehan kerajaan, reformasi subsidi bersasar supaya bantuan lebih tepat kepada rakyat, serta usaha memperkukuh institusi kehakiman dan anti rasuah,” jelasnya dalam kenyataan.

Mengenai pilihanraya negeri Johor, Faezuddin Puad berkata, kenyataan pemimpin parti Kancil bahawa parti itu tidak mahu bekerjasama bahkan mahu melawan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai sombong.
Malah, katanya ia menutup ruang rundingan serta kerjasama politik demi kestabilan negara.
“Dalam realiti landskap politik Malaysia hari ini, semua orang tahu tidak ada mana-mana parti yang boleh mendominasi secara bersendirian.
“Jadi kenyataan seperti itu dilihat sombong dan menutup ruang rundingan serta kerjasama politik demi kestabilan negara,” katanya hari ini.
Menurut beliau, rakyat perlu undi parti yang ada hala tuju politik yang jelas dan sebuah parti yang mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya seperti PH.
Katanya, PH secara konsisten mengisytiharkan kesediaan bertanding di semua kerusi dan mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas. – UTUSAN









