Anwar kekal terima sokongan tertinggi, 52 peratus - Merdeka Center

Anwar kekal terima sokongan tertinggi, 52 peratus – Merdeka Center

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendahului senarai pemimpin politik negara dengan kadar sokongan sebanyak 52 peratus menurut hasil tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh badan kajian Merdeka Center hari ini.

Dalam tinjauan sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berada di tempat kedua dengan kadar sokongan sebanyak 50 peratus.

Bagi pemimpin pembangkang, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat populariti sokongan 36 peratus mengatasi Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memperoleh markah 28 peratu

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula merekodkan sokongan 25 peratus manakala Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 24 peratus.

 

Sementara itu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang baru-baru ini meninggalkan PKR bagi menubuhkan Bersama mencatat sokongan 32 peratus.

Tinjauan itu turut mendapati 42 peratus pengundi berpendapat Malaysia berada di landasan yang betul, kekal tidak berubah berbanding tinjauan pada Disember 2025 dan Februari lalu.

Bagaimanapun, 50 peratus responden masih berpandangan negara menuju ke arah yang salah. 

Namun angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh Jun hingga Ogos 2025 apabila kurang daripada empat daripada 10 rakyat berpendapat negara berada di haluan yang betul.

Mengikut kumpulan etnik, 39 peratus responden Melayu berpandangan negara bergerak ke arah yang betul, diikuti responden Cina (50 peratus) dan India (33 peratus).

Daripada segi umur pula, golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat tahap keyakinan tertinggi dengan 57 peratus, manakala kumpulan umur 51 hingga 60 tahun paling kurang optimistik apabila hanya 32 peratus berpandangan sedemikian.

Mengenai faktor yang mendorong persepsi negara berada di landasan yang salah, 53 peratus responden menyatakan isu ekonomi sebagai kebimbangan utama, termasuk keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup dan harga bahan api.

Malah 73 peratus responden menganggap isu berkaitan ekonomi sebagai masalah terbesar yang dihadapi rakyat ketika ini, sekali gus menunjukkan kebimbangan terhadap ekonomi terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi penilaian terhadap hala tuju negara merentas semua kumpulan etnik.

Dalam perkembangan sama, 51 peratus responden menyatakan tidak berpuas hati terhadap cara kerajaan menguruskan ekonomi, berbanding 46 peratus yang berpuas hati.

Walaupun begitu, tahap ketidakpuasan hati terhadap pengurusan ekonomi kerajaan menunjukkan penurunan ketara berbanding trend keseluruhan sepanjang tahun 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN