BACHOK: Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan merempuh seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mengalami kecederaan parah ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) secara cuai, ketika Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Januari lalu.
Mohammad Shuhaili Shuib, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah MPV jenis Toyota Innova melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun apabila perbuatan itu dilakukan dengan cuai sehingga mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta di sebuah chalet di sini kira-kira pukul 10.45 pagi pada 3 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala Mohammad Shuhaili diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Habil Zainal Abidin.
Terdahulu, Muhammad Aiman mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Habil dalam rayuannya memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu bomba di Pulau Pinang dengan gaji bersih kira-kira RM2,000 sebulan.
“Tertuduh yang mempunyai empat anak turut menanggung isteri yang bekerja di sebuah kilang selain menyara kedua ibu bapanya.
“Mohammad Shuhaili juga perlu berulang-alik dari Pulau Pinang ke Bachok bagi menghadiri prosiding mahkamah selepas ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk selepas dirempuh sebuah MPV milik sebuah agensi penyelamat.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan cahaya mata kepada seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Pahang.
Ibu mangsa, Nurul Afzan Che Ramlee, 33, berkata, ketika kejadian, anaknya sedang bermain di kawasan padang iaitu tempat berlangsungnya acara sukan rakyat sebelum dirempuh MPV tersebut yang sedang dalam keadaan mengundur.
“Beberapa kanak-kanak lain juga bermain di situ kerana kawasan berkenaan bukan di atas jalan sebaliknya di tapak sukaneka,” ujarnya. – UTUSAN










