PETALING JAYA: Pelakon, Diana Danielle mengakui dirinya lebih selesa membintangi filem berbanding drama bersiri demi keseimbangan masa sebagai seorang ibu dan kerjaya seni.
Menurut Diana, proses penggambaran mengambil masa lebih singkat dan mudah disesuaikan dengan rutin harian bersama anak-anak.
“Sudah tentu ada tawaran yang saya terpaksa tolak kerana jadual penggambaran mempunyai musim tertentu.
Bukan saya terlalu memilih, tetapi kebanyakan drama bersiri panjang agak tidak sesuai kerana anak-anak saya masih perlukan perhatian.
“Sebab itu saya lebih selesa memilih filem kerana tempohnya lebih pendek dan saya masih boleh banyak meluangkan masa di rumah,” katanya.
Dalam masa sama, ibu kepada dua orang anak itu dia sedang menantikan naskhah yang menawarkannya untuk membawa watak luar daripada karakter stereotaip yang sering diterimanya sebelum ini.
“Saya sedang menunggu naskhah yang benar-benar memberi kelainan kepada penonton drama. Selama ini, kebanyakan watak yang saya terima adalah seperti isteri teraniaya atau perampas.
“Penonton sudah terlalu banyak melihat karakter seperti itu. Kalau saya melakonkan watak sama berulang kali, saya sendiri tidak lagi teruja,” katanya.
Bakal membintangi filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faizal Ishak, Diana bagaimanapun tidak menjangka rezekinya kini lebih banyak tertumpu pada naskhah layar perak.
“Setakat ini, sehingga tahun depan saya mempunyai lima filem yang bakal ditayangkan. Jika mahu bercakap tentang graf pencapaian saya dalam industri, itulah grafnya.
“Saya tidak mencaturkan perkara ini tetapi kebanyakan rezeki yang datang adalah filem dan sesuai juga dengan jadual saya sebagai seorang ibu,” ujarnya.










