Alpha terkejut, tidak sangka kongsi penulis lagu dengan BTS - Utusan Malaysia

Alpha terkejut, tidak sangka kongsi penulis lagu dengan BTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan M-Pop, Alpha, berbesar hati apabila berpeluang bekerjasama dengan dua penulis lagu terkenal Korea Selatan, Daniel Caesar dan Candace Sosa, yang sebelum ini pernah menghasilkan karya untuk kumpulan sensasi dunia, BTS.

Mewakili Alpha, Ariel berkata, pada peringkat awal mereka tidak mengetahui identiti sebenar pencipta lagu tersebut dan hanya dimaklumkan selepas tamat menjalani latihan intensif di Korea Selatan tahun lalu.

“Kami pada mulanya memang tidak tahu siapa yang mencipta lagu itu. Ketika menjalani latihan intensif di Korea Selatan, lagu tersebut diberikan kepada kami sebagai tugasan.

“Selepas pulang ke Malaysia, barulah kami mengetahui siapa sebenarnya pencipta lagu itu. Kami benar-benar terkejut dan berasa sangat bertuah kerana Alpha berpeluang merasai pengalaman memiliki lagu hasil komposer bertaraf antarabangsa. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Ariel, Alpha sentiasa berusaha memberikan komitmen terbaik dalam menyampaikan setiap karya yang diamanahkan kepada mereka tanpa mengira latar belakang atau populariti penciptanya.

“Apa sahaja lagu yang diberikan kepada kami, Alpha akan cuba menyampaikannya sebaik mungkin.

“Tidak kiralah sama ada daripada nama besar atau baharu dalam industri, kami tetap akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Selain lagu Burn It Down, Alpha turut bekerjasama dengan Daniel Caesar dan Candace Sosa menerusi lagu The First Wave yang bakal dimuatkan dalam album sulung mereka.

Untuk rekod, Daniel pernah menghasilkan lagu Run BTS dan Moon selain terlibat dalam pembikinan lagu untuk TOMORROW X TOGETHER (Loser=Lover), ITZY (ICY), ENHYPEN (Tamed-Dashed) serta Red Velvet menerusi lagu Zimzalabim.

Sementara itu, Candace pula cukup dikenali dalam kalangan peminat K-Pop kerana pernah menulis beberapa lagu ikonik BTS seperti Euphoria, Magic Shop, Mikrokosmos dan Love Maze. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN