PUCHONG: Sebanyak 90 lagu terbaik daripada 590 penyertaan yang diterima berjaya mara ke peringkat undian awam sempena Anugerah Lagu Indie 2025 (ALI2025).
Penganjuran ALI2025 tahun ini menyaksikan sambutan memberangsangkan daripada penggiat muzik bebas di seluruh negara apabila ratusan karya dihantar untuk dinilai oleh panel juri profesional.
Daripada jumlah itu, hanya 90 lagu dipilih untuk bersaing dalam fasa undian awam selepas melalui proses penilaian yang teliti. Kesemua lagu tersebut dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Pop Terbaik, Rock Terbaik dan Hip Hop Terbaik dengan 30 lagu dipilih bagi setiap kategori.
Undian awam yang dibuka sejak 24 Mei lalu akan berlangsung sehingga 21 Jun 2026 menerusi laman rasmi ALI, sebelum senarai 15 finalis terbaik diumumkan pada 1 Julai depan.
Bagi kategori Persembahan Terbaik, pemenang akan ditentukan menerusi gabungan 30 peratus undian awam dan 70 peratus markah juri profesional. Sementara itu, kategori lain akan dinilai sepenuhnya oleh panel juri berdasarkan aspek lirik, komposisi lagu, susunan muzik dan persembahan vokal.
Bagi memastikan kredibiliti dan ketelusan proses pemilihan, ALI2025 menampilkan barisan juri yang terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam industri muzik tempatan.
Antara mereka ialah AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan dan Melina William. Turut menganggotai panel penjurian ialah Luca Sickta, Roshan Jamrock serta Wing Meng.
Kehadiran barisan juri daripada pelbagai latar belakang dan genre muzik dilihat mampu memperkukuhkan mutu penilaian serta meningkatkan kredibiliti anugerah tersebut.
Sejak diperkenalkan pada 2020, Anugerah Lagu Indie terus memainkan peranan penting sebagai platform untuk mengetengahkan bakat dan karya muzik bebas tempatan.
Sepanjang enam tahun penganjurannya, sebanyak 3,882 lagu telah diterima melibatkan lebih 10,000 artis indie dari seluruh negara.
Penerbit Eksekutif Bersama ALI2025, Jennifer Thompson sebelum ini berkata, anugerah berkenaan bukan sekadar medan pertandingan berasaskan populariti, sebaliknya memberi penekanan terhadap nilai artistik dan kualiti sesebuah karya muzik.
Menurut beliau, ALI menjadi platform penting dalam memperkenalkan bakat baharu serta mengangkat muzik indie sebagai antara pemacu masa depan industri muzik Malaysia.
Pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2025 dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini dengan hadiah keseluruhan bernilai RM36,000 menanti pemenang.
Anugerah yang dipertandingkan merangkumi kategori Lagu Terbaik, Hip Hop Terbaik, Pop Terbaik, Rock Terbaik, Persembahan Terbaik dan Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita.
Orang ramai yang ingin menyertai proses pengundian boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang rasmi Anugerah Lagu Indie. -UTUSAN










