PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan apabila ia tidak selari dengan pendirian mereka.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan politik itu bergerak berdasarkan perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan secara bersama.
Katanya, setiap parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing di dalam ruang lingkup mesyuarat.
“Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya.
“PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.
“Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini memaklumkan wakil-wakil Bersatu dalam PN, membantah keras gabungan itu menerima keanggotaan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai parti komponen.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri memaklumkan proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN.
Beliau memaklumkan, telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
“Kini adalah masanya untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.
“Keutamaan kita ialah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
Berhubung logo PN, Ahmad Samsuri berkata, penggunaan simbol PN datang bersama tanggungjawab politik.
“Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya. – UTUSAN










