Agong sempurnakan pentauliahan 566 pegawai kadet ATM

Agong sempurnakan pentauliahan 566 pegawai kadet ATM

KUALA LUMPUR 27 JUN 2026 - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (dua kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan kepada Muhammad Aliff Iskandar Mohd Alimi (kiri) pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Taulian Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2026 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: AINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2026 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Baginda tiba kira-kira pukul 9 pagi, diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman. 

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri. Dr.Zulhelmy Ithnain serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Seramai 566 Pegawai Kadet ATM membabitkan 466 lelaki dan 100 wanita ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada istiadat berkenaan. 

Daripada jumlah itu, 438 pegawai menyertai Tentera Darat Malaysia (373 lelaki, 65 wanita), 111 pegawai menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (97 lelaki, 14 wanita) manakala 117 lagi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (96 lelaki, 21 wanita).

Daripada keseluruhan pegawai yang ditauliahkan, seramai 205 merupakan graduan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di peringkat Ijazah Sarjana Muda, manakala baki 361 pegawai ialah lepasan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara yang menjalani latihan di Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris I (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).

Ia sekaligus melayakkan mereka ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM berpangkat Leftenan Muda.

Istiadat turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pedang Kehormat kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik mengikut institusi latihan dengan Leftenan Muda Muhammad Aliff Iskandar Mohd. Alimi daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan Akademi Latihan Ketenteraan sekaligus menerima Piala Seri Perkasa.

Sejurus selesai istiadat perbarisan, majlis diteruskan dengan Pengurniaan Watikah Tauliah yang disempurnakan Panglima Angkatan Tentera di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan. 

Majlis itu turut disusuli bacaan Ikrar Taat Setia Perwira oleh pegawai muda yang baharu ditauliahkan sebagai simbol komitmen mereka menjunjung Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan kedaulatan negara serta mengekalkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN