GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga emas cedera parah selepas ditetak sebanyak tiga kali oleh adik kandungnya dalam satu pertengkaran di sebuah rumah kebun durian di Paya Terubong, Air Itam di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 65 tahun dikatakan pergi ke kebun berkenaan untuk melawat kawasan miliknya sebelum mendapati pelbagai barangan di rumah kebun tersebut mengalami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa kemudian mengesyaki bahawa kerosakan itu dilakukan oleh adiknya yang berusia 62 tahun sebelum menegur lelaki terbabit.
Menurut beliau, teguran tersebut bagaimanapun mencetuskan pertengkaran mulut antara dua beradik itu sebelum suspek bertindak agresif dengan menetak mangsa.
“Suspek dipercayai mengambil sebilah parang dan menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian. Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.50 petang sebelum melancarkan operasi untuk mengesan suspek.
“Hasil tindakan pantas polis dengan bantuan Unit Pengesan K-9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, suspek akhirnya berjaya ditahan pada pukul 6.30 petang hari yang sama di belakang rumah di lokasi kejadian.
“Suspek kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya..-UTUSAN










