ALOR SETAR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa terdapat kira-kira 70 sekolah yang dikendalikan komuniti Rohingya dan penduduk tempatan dikesan beroperasi di negeri ini dengan sembilan daripadanya dipercayai berada di daerah Kota Setar.
Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (Paku), Amirul Syahir Muda berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan berikutan kebanyakan sekolah tersebut didakwa beroperasi tanpa mematuhi peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 serta tidak melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, sekolah-sekolah berkenaan dipercayai beroperasi di premis sewaan termasuk rumah dan lot perniagaan yang tersorok sehingga gagal dikesan oleh orang ramai.
“Setakat ini, kita menerima maklumat terdapat sembilan sekolah sedemikian di sekitar daerah Kota Setar termasuk di Kampung Berjaya dan Shahab Perdana di sini. Berdasar pemantauan Paku, terdapat lebih 70 sekolah di seluruh Kedah dan paling banyak di Kota Setar dan Kuala Muda.
“Kita difahamkan premis yang digunakan adalah rumah dan bangunan yang disewa bagi menjalankan aktiviti pembelajaran,” katanya ketika ditemui di salah sebuah sekolah berkenaan di Tongkang Yard dekat sini hari ini.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius memandangkan sebarang penubuhan institusi pendidikan perlu mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan kerajaan.
“Jika hendak membuka sekolah, perlu ada prosedurnya. Jika tidak mengikut Akta Pendidikan Negara, perkara itu sebenarnya adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Kita berharap kerajaan memantau perkara ini dan mengambil tindakan segera. Kita bukan hendak menidakkan hak mana-mana pihak untuk mendapatkan pendidikan namun segala-galanya perlu dilaksanakan mengikut peraturan,” ujarnya.
Menurut beliau, sekolah-sekolah tersebut dipercayai diusahakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu tertentu dengan tenaga pengajar yang terlibat pula terdiri daripada individu dalam kalangan masyarakat Rohingya sendiri dan warga tempatan.
“Mereka tidak menggunakan silibus pendidikan nasional iaitu dikhuatiri pengajaran tanpa kedaulatan undang-undang dan perkara-perkara asas pendidikan. Ini membimbangkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menjalankan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan semua institusi pendidikan yang beroperasi di negeri ini mematuhi undang-undang sedia ada.
Sementara itu tinjauan akhbar ini di sekolah berkenaan mendapati terdapat kira-kira 40 pelajar etnik Rohingya berkenaan khusyuk menjalani pembelajaran masing-masing.
Menurut salah seorang tenaga pengajar sekolah itu yang dikenali sebagai Ina, sekolah tersebut beroperasi sejak 2023 dengan pelajarnya berusia antara enam hingga 12 tahun.
“Saya dan rakan kongsi yang merupakan orang Rohingya menyewa premis ini untuk membuka sekolah. Di sini pelajar diajar pelajaran asas seperti bahasa Melayu serta Inggeris selain mengaji al-Quran. Bayaran dikenakan antara RM100 hingga RM120 seorang,” katanya yang mengaku sekolah berkenaan tidak berdaftar dengan mana-mana pihak. – UTUSAN









