62 warga asing salah guna pas ditahan

62 warga asing salah guna pas ditahan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan 62 warga asing menyalahgunakan pas imigresen membawa kepada penahanan kesemua individu terbabit dalam operasi khas yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di beberapa lokasi sekitar Selangor.

Operasi dijalankan di beberapa kilang dan kedai makan di sekitar Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan itu membabitkan 30 pegawai dan bertumpu ke lokasi aduan orang ramai. 

Katanya, sebanyak 17 premis meliputi kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit serta kawasan penjaja telah diperiksa dalam operasi itu. 

“Hasil pemeriksaan ke atas 210 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing, 62 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Siasatan awal mendapati sebahagian warga asing yang ditahan dipercayai menyalahgunakan pas yang diberikan dengan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zakaria berkata, perbuatan itu adalah pelanggaran serius terhadap syarat pas dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa. 

“Dalam operasi sama, sebanyak 11 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan bagi membantu siasatan lanjut berhubung penggajian warga asing serta tahap pematuhan terhadap peruntukan undang-undang imigresen,” jelasnya. 

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut. 

Zakaria berkata, majikan diingatkan sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam penggajian warga asing. 

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar syarat pas serta peraturan imigresen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN