KUALA LUMPUR: Seramai 13 lelaki termasuk seorang bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh di Jinjang Utara.
Mereka ialah T. Kavilan, 25; Wong Kui Yoong, 51; Leow Mun Yee, 33; Leong Chun Kit, 26; Yam Kit Lun, 21; Lim Zhen Huang, 31; Tan Kai Hao, 30; Teh Jin Huat, 40; Wong Kai Yan, 24; Lim Eng Hoon, 24; Kong Wai Lun, 22, dan Tan Hwa Yuan, 19.
Remaja yang turut didakwa pada prosiding hari ini berusia 17 tahun.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lima lagi individu yang masih bebas didakwa merusuh dengan batang kayu rotan yang boleh menyebabkan kecederaan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara pada pukul 3.27 petang, 11 Jun 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Peguam Nur Ashiqeen Mohd. Sultan yang mewakili sembilan tertuduh memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.
Zhen Huang, Kai Hao, Zhi Ming dan Jin Huat yang diwakili peguam Mona Anak Leonard Lubon pula memohon ikat jamin pada kadar minimum, selain menyatakan semua anak guamnya telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh juvenil dan dua lagi berusia 19 dan 21 tahun diikat jamin RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala 10 lagi tertuduh ditetapkan pada kadar jaminan RM5,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada 13 Ogos ini.
Pada 13 Jun lalu, seramai 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan dan pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan urusan hutang.
Situasi kemudian bertukar menjadi pergaduhan besar sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan semakan rekod mendapati beberapa suspek daripada kumpulan berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. – UTUSAN










