127,000 panggilan Talian Kasih sejak 2022

127,000 panggilan Talian Kasih sejak 2022

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 127,000 panggilan diterima menerusi Talian Kasih 15999 bagi tempoh tahun 2022 sehingga Mei lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 9,327 panggilan atau 7.36 peratus membabitkan aduan dan kes berkaitan isu keganasan rumah tangga.

Katanya, kategori permohonan bantuan kebajikan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 59,589 panggilan (47.04 peratus) diikuti permohonan khidmat kaunseling sebanyak 35,947 panggilan (28.38 peratus) dan isu membabitkan kanak-kanak sebanyak 14,965 panggilan (11.81 peratus) manakala baki 16,136 panggilan (12.74 peratus) adalah bagi lain-lain kategori.

“Bagi kes keganasan rumah tangga, Talian Kasih 15999 merekodkan trend peningkatan aduan setiap tahun iaitu 323 aduan pada 2022, meningkat kepada 393 aduan (2023), 477 aduan (2024) dan melonjak kepada 750 aduan pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini pula, sebanyak 470 aduan berkaitan keganasan rumah tangga sudah diterima setakat Mei lalu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai sejauh mana keberkesanan talian bantuan dan pusat sokongan bagi mangsa keganasan rumah tangga termasuk kadar kes yang berjaya menerima intervensi susulan.

Mengulas mengenai kadar kejayaan intervensi, Hui Ying berkata, kesemua aduan keganasan rumah tangga yang diterima bagi tempoh tahun 2022 hingga 2025 sudah berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh pihak kementerian.

“Bagi aduan yang diterima sehingga Mei lalu, sebanyak 406 aduan berjaya diselesaikan manakala baki 64 aduan lagi masih dalam tindakan susulan.

“Setiap aduan yang diterima akan direkodkan dan disalurkan terus kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berkaitan untuk tindakan siasatan serta intervensi sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, antara tindakan susulan yang diberikan kepada mangsa termasuklah bantuan mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Sementara (IPO), penempatan di pusat perlindungan yang selamat, bantuan kebajikan, khidmat kaunseling serta sokongan psikososial.

“Selain berfungsi sebagai saluran aduan kecemasan, Talian Kasih 15999 turut bertindak sebagai platform penyebaran maklumat dan kesedaran mengenai perundangan serta hak mangsa keganasan rumah tangga.

“Bagi tempoh 2022 hingga Mei lalu, platform berkenaan menerima lebih 2,000 panggilan daripada orang awam yang ingin mendapatkan maklumat, prosedur aduan serta kefahaman mengenai isu terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN