KUALA LUMPUR: QEW Group Bhd dan dua pengarahnya mendakwa 111 pelabur yang menyaman mereka sedar bahawa mereka menyertai pelaburan bersifat spekulatif.
Selain QEW, dua pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad dan Mohd Fairoz Muhammed turut dinamakan sebagai defendan.
Menurut penyataan pembelaan ketiga-tiga defendan itu, semua plaintif yang berusia di antara 28 dan 89 tahun memenuhi kriteria sebagai pelabur sofistikated di bawah rangka yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Tambah defendan, skim pelaburan Redeemable Preference Shares-i (RPS-i) adalah produk berstruktur disasarkan kepada pelabur sofistikated, yang lazimnya memerlukan pelaburan minimum RM250,000.
Kata mereka, kesemua plaintif mengisytiharkan mereka berupaya menilai sendiri risiko berkaitan pelaburan mereka dan turut menandatangani waranti yang mengesahkan kelayakan masing-masing.
Berdasarkan Klausa 8 Perjanjian RPS-i, plaintif mengetahui dan memahami pelaburan RPS-i membabitkan tahap risiko yang ketara dan sebarang makluman mengenai pulangan modal atau dividen yang dinyatakan dalam perjanjian atau Information Memorandum hanyalah bersifat anggaran dan tidak dijamin.
Katanya, plaintif tidak boleh, pada masa ini, menafikan bahawa mereka telah secara nyata mengakui kewujudan risiko pelaburan RPS-i dan hakikat bahawa sebarang unjuran pulangan yang dinyatakan dalam Perjanjian RPS-i atau IM bukanlah suatu jaminan keuntungan.
“Plaintif mengakui mereka tergolong dalam kategori pelabur di bawah Jadual 6 dan Jadual 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam hal ehwal kewangan, perniagaan serta berkeupayaan menilai merit dan risiko pelaburan sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam RPS-i.
“Plaintif juga bersetuju di bawah Klausa 8.10 Perjanjian RPS-i untuk menanggung rugi dan melindungi defendan pertama dan pegawai atau pengarahnya daripada sebarang tindakan, tuntutan atau prosiding yang timbul berhubung dengan representasi atau maklumat yang diberikan oleh plaintif berkaitan pelaburan RPS-i.
“Nilai dan hasil pelaburan melalui RPS-i tidak bersifat tetap dan boleh berubah mengikut keadaan semasa, termasuk kemungkinan pulangan lebih rendah daripada jangkaan atau kelewatan dalam pelaksanaan sebarang pembayaran atau penebusan, bergantung kepada prestasi serta kedudukan kewangan syarikat,” kata kesemua defendan dalam penyataan pembelaan mereka.
Defendan berkata, pelaburan RPS-i tidak mewujudkan hubungan penghutang dan pemiutang antara syarikat dan pelabur dan tidak boleh disifatkan sebagai suatu obligasi pembayaran balik mutlak sebagaimana kontrak hutang konvensional.
Sebaliknya menurut defendan, sebarang pulangan, pengagihan atau penebusan semula adalah tertakluk kepada terma Perjanjian RPS-i, kedudukan kewangannya serta keputusan korporat yang relevan pada setiap masa yang material.
Defendan berkata, sebagai instrumen patuh syariah yang bersifat ekuiti, pelaburan RPS-i secara semula jadinya membabitkan risiko komersial termasuk kemungkinan kerugian, kelewatan pembayaran atau ketidakupayaan untuk membuat pembayaran pada sesuatu masa.
Katanya, plaintif sebagai pelabur menanggung risiko itu apabila memilih untuk melabur dalam instrumen berkenaan.
Pada 3 April lalu, semua plaintif mendakwa QEW Group gagal memenuhi tanggungjawab menguruskan skim pelaburan dan mula menangguhkan, mengurangkan dan akhirnya menghentikan sepenuhnya pembayaran dividen tanpa penjelasan kewangan munasabah.
Melalui pernyataan tuntutan mereka, plaintif mendakwa antara tahun 2022 hingga 2024, mereka dipengaruhi dan didorong oleh defendan untuk melabur dan melanggan Skim Pelaburan RPS-i yang ditawarkan, dipromosikan, dipasarkan dan diuruskan defendan.
Sehubungan itu, plaintif memohon perintah supaya defendan pertama membayar RM20.5 juta kepada mereka dan perisytiharan bahawa defendan kedua dan ketiga bertindak cuai dan melakukan skim penipuan modal pelaburan mereka. – UTUSAN










