KUALA LUMPUR: Pentadbiran Pelancongan Taiwan kembali mengadakan promosi besar-besaran di Malaysia menerusi siri jelajah di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan berkunjung ke negara itu sempena musim percutian hujung tahun dan perayaan 2026.
Kempen yang berlangsung dari 13 hingga 20 Mei itu melibatkan delegasi pelancongan peringkat tinggi Taiwan terdiri daripada 64 wakil daripada 29 organisasi termasuk kerajaan tempatan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, hotel serta pengusaha taman tema.
Usaha berkenaan dilaksanakan susulan peningkatan permintaan rakyat Malaysia terhadap pelancongan luar negara, selain hubungan akrab antara Malaysia dan Taiwan serta kemudahan penerbangan terus yang semakin meluas.
Pameran Pelancongan Taiwan yang berlangsung di Queensbay Mall, Pulau Pinang dari 15 hingga 17 Mei mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 10,000 pengunjung hadir mendapatkan maklumat berkaitan pakej pelancongan ke Taiwan.
Acara itu menampilkan identiti jenama Taiwan – Waves of Wonder dengan tarikan maskot gergasi OhBear serta instalasi belon udara panas Taitung yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk bergambar dan dimuat naik ke media sosial.
Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan muzik Liu-Sheng-Ji dan Flying Space yang mempersembahkan gabungan tarian jalanan serta aksi akrobatik bagi mengetengahkan budaya moden Taiwan.
Turut hadir memeriahkan acara ialah pempengaruh terkenal Malaysia, LizQin dan Cayeeloh yang berkongsi pengalaman melancong ke Taiwan sambil mempromosikan pelbagai produk pelancongan bertema.
Sementara itu, pada 19 Mei, delegasi berkenaan meneruskan misi promosi di The Westin Kuala Lumpur menerusi sesi taklimat produk pelancongan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang memberi tumpuan kepada pasaran Muslim dan pengusaha pelancongan Cina.
Program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 100 pemain industri tempatan serta merekodkan kira-kira 5,000 sesi padanan perniagaan antara pengusaha Malaysia dan Taiwan.
Dalam usaha memperkukuh pasaran Muslim, Taiwan turut menonjolkan pencapaiannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim apabila menduduki tempat keempat bagi kategori destinasi bukan negara anggota OIC dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2025.
Pengarah Taiwan Tourism Administration Kuala Lumpur Office, Abe Chou berkata, Malaysia kekal sebagai antara pasaran pelancongan terpenting bagi Taiwan.
Katanya, pihaknya akan terus memperhebat strategi pemasaran menerusi kerjasama bersama pempengaruh media sosial bagi memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan Taiwan termasuk makanan bertaraf antarabangsa, landskap gunung-ganang dan pantai yang menarik.
“Taiwan juga akan memanfaatkan filem romantik komedi serta program hiburan kekeluargaan untuk memperkukuh imej sebagai destinasi mesra Muslim dan destinasi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya.










