PORT DICKSON: Seorang wanita dipercayai memberi racun rumput kepada anak perempuannya yang berusia setahun sebelum turut meminum bahan sama dalam kejadian di Bandar Sunggala, Telok Kemang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Port Dickson pada pukul 11.50 malam kelmarin berhubung dua orang pesakit warganegara Myanmar dipercayai meminum racun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia 21 tahun terbabit dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak melahirkan anak tersebut.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Telok Kemang. Dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan itu terlebih dahulu meminum racun rumput jenis ‘Protocol’ sebelum memberi bahan sama kepada anak perempuannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan lanjut di hospital.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, suami wanita berkenaan yang juga warganegara Myanmar dan berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN










