IPOH: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan dalam kejadian di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam selepas dihubungi anak mangsa.
Katanya, mangsa berusia 70 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.
“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga jiran mangsa ditahan di sekitar tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi berkenaan turut menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek pernah dihantar menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










