PETALING JAYA: Kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan kekal stabil dan akan terus bergerak lebih aktif susulan perubahan struktur organisasi selepas peletakan jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan.
Setiausaha AMK, Omar Mokhtar A Manap berkata, Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli kini memangku jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan selepas keputusan tersebut dibuat oleh Biro Politik AMK.
Katanya, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan gerak kerja serta proses penstrukturan semula organisasi berjalan lancar.
“Wan Nur Aishah yang juga Ketua AMK Bandar Tun Razak akan menyelaras semula gerak kerja organisasi, memperkukuh jentera anak muda serta memastikan agenda mendekati rakyat terus diperkasakan di seluruh Wilayah Persekutuan.
“AMK juga akan melaksanakan proses penstrukturan dan pengukuhan organisasi secara menyeluruh bagi memastikan gerakan anak muda parti itu kekal relevan, progresif dan bersedia menghadapi cabaran politik akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Omar Mokhtar berkata, kekuatan perjuangan AMK tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya dibina atas semangat kolektif serta pengorbanan generasi reformis.
Katanya, anggota AMK di seluruh negara perlu kekal tenang, terus bekerja dan fokus memperkukuh gerakan.
“Rakyat kini menilai bukan sekadar siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang paling konsisten memikul tanggungjawab ketika negara memerlukan kestabilan dan penyelesaian.
“AMK akan terus menjadi nadi kepada cita-cita reformasi yang digerakkan selama ini,” katanya. – UTUSAN









