PETALING JAYA: Pemuda DAP (DAPSY) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan pembubaran Parlimen sekiranya UMNO Johor memilih untuk bergerak solo pada pilihan raya negeri (PRN) itu akan datang.
DAPSY berkata, tindakan segelintir pemimpin UMNO itu disifatkan ‘kacang lupakan kulit’ kerana tidak mengenang kerjasama yang membantu parti tersebut terus kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ketika UMNO berdepan prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) antara pihak yang bersama-sama mempertahankan sokongan terhadap parti itu.
“Ketika UMNO mengalami kekalahan paling teruk pada PRU lalu, siapakah yang bersama-sama melawan gelombang Perikatan Nasional (PN) untuk mengelakkan sokongan UMNO tidak terus dihakis?.
“Pada PRN 2023, kerjasama dan rundingan kerusi antara PH dengan Barisan Nasional (BN) khususnya prinsip mengelakkan pertembungan sesama PH dan BN telah memberikan nyawa kepada UMNO untuk kekal relevan dalam medan politik Malaysia.
“Ini hakikat politik yang tidak boleh dipadamkan sesuka hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, terdapat pihak dalam kalangan UMNO yang dilihat cuba menggugat semangat Kerajaan Perpaduan walaupun parti itu mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri yang besar dalam kerajaan ketika ini.
“DAPSY ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan wujud atas mandat kestabilan dan kerjasama. Jika ada pihak yang cenderung untuk menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan, maka DAPSY menyeru PMX untuk membubarkan parlimen segera.
“Ia demi mengadakan PRU serta PRN Johor dengan negeri-negeri lain secara serentak agar rakyat diamanahkan untuk membuat keputusan secara jelas dan muktamad secara sekaligus untuk menghukum pengkhianat,” katanya. – UTUSAN










