Tren tergelincir: Rapid KL kekalkan perkhidmatan alternatif

Tren tergelincir: Rapid KL kekalkan perkhidmatan alternatif

KEADAAN tren LRT yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pagi tadi yang mengakibatkan gangguan bagi laluan Ampang/Sri Petaling.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan perkhidmatan alternatif termasuk tren perantara dan bas ulang-alik percuma dikekalkan sehingga tamat operasi hari ini susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling yang masih belum pulih sepenuhnya.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, kerja-kerja baik pulih operasi masih giat dijalankan oleh pasukan teknikal bagi memastikan perkhidmatan di laluan berkenaan kembali pulih.

Katanya, tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit, manakala tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan setiap enam minit.

“Tren perantara turut disediakan di antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Cheras di Platform 1 dengan kekerapan lapan minit, manakala tren perantara di antara Stesen Ampang dan Stesen Maluri di Platform 2 disediakan setiap enam minit.

“Selain itu, tren perantara di antara Stesen Maluri dan Stesen Chan Sow Lin di Platform 1B dan 2B disediakan setiap lapan minit, manakala tren perantara di antara Stesen Cheras dan Stesen Pudu di Platform 1 turut disediakan setiap lapan minit.

“Bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan membabitkan beberapa stesen termasuk Hang Tuah, Pudu, Chan Sow Lin, Cheras, Maluri, Miharja dan Pandan Jaya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penumpang dinasihatkan menggunakan laluan rel alternatif atau mod pengangkutan lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Katanya, penumpang juga digalakkan menggunakan Laluan Putrajaya dengan pertukaran tren di Stesen Sungai Besi bagi mengurangkan kesan kelewatan perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN