PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin dekat sini, pagi semalam diarah mengemukakan laporan lengkap dengan kadar segera.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, laporan itu akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian tersebut termasuk sama ada wujud unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“APAD memandang serius insiden berkenaan dan telah melaksanakan pemeriksaan tapak sejurus selepas kejadian bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.
“Pemeriksaan tapak pertama diketuai Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel.
“Pemeriksaan tapak kedua pula diadakan pada pukul 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, APAD diarah mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana susulan insiden tren LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh Lembaga Pengarah Prasarana terhadap pihak yang cuai.
Menurut APAD, selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, APAD telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden itu secara menyeluruh.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.
“Keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa juga keadaan.
“APAD akan memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambah APAD, sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Selain itu, siasatan juga merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715 termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” katanya. – UTUSAN









