KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai kontrak penajaan baharu bersama Malaysia Hockey Confederation (MHC) bagi tempoh 2026 hingga 2030 demi memperkasa pembangunan hoki negara secara menyeluruh dan mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Shamsul Ahmad berkata, Kerjasama strategik yang terjalin sejak tahun 2006 itu mencerminkan komitmen jangka panjang TNB dalam memperkukuh pembangunan hoki negara daripada peringkat akar umbi sehingga ke pentas antarabangsa.
Beliau berkata, sokongan berterusan syarikat terhadap sukan itu bukan sekadar penajaan korporat, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan belia dan masa depan sukan negara.
“Di TNB, kami percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda. Sebab itu, sokongan kami terhadap hoki bukan sekadar tajaan korporat, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan belia dan masa depan sukan negara.
“Sejak kerjasama dimeterai hampir dua dekad lalu, TNB telah menyalurkan lebih RM60 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan hoki negara termasuk pembangunan liga, kejohanan utama, pembangunan pemain remaja serta persiapan pasukan kebangsaan.
“Bagi tahun 2025 sahaja, jumlah tajaan yang disalurkan mencecah lebih RM7.6 juta melibatkan pelbagai program pembangunan hoki termasuk kejohanan antarabangsa, pembangunan akar umbi dan latihan pemain muda,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Majlis menandatangani kontrak penajaan yang berlangsung di Leo Moggie Convention Centre (LMCC) itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Shamsul berkata, usaha berkenaan selari dengan aspirasi ESG TNB khususnya dalam aspek pembangunan sosial dan komuniti selain menyokong aspirasi Visi Sukan Negara 2030 yang menekankan pembangunan ekosistem sukan yang inklusif, kompetitif dan berprestasi tinggi.
“TNB akan terus memainkan peranan aktif dalam membantu memperkukuh ekosistem hoki negara demi melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Presiden MHC, Subahan Kamal berkata, komitmen berterusan TNB memainkan peranan besar dalam memperkukuh pembangunan hoki negara sejak sekian lama.
Menurut beliau, banyak kejayaan dan pembangunan bakat hoki negara hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sokongan konsisten TNB terhadap ekosistem hoki Malaysia.
“Antara kejayaan signifikan hasil kerjasama tersebut ialah pembangunan program akar umbi TNB Thunderbolts yang telah melahirkan lebih 100 pemain hoki kebangsaan dan senior negara.
“Selain itu, program Sekolah Angkat Hoki TNB kini melibatkan tujuh sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), SMK Seberang Temerloh, SMK Anderson, SMK Pengkalan Permatang, SMK Syed Hassan dan Sekolah Tinggi Melaka.
“Melalui program itu, pelajar menerima bantuan peralatan dan kemudahan selain latihan berstruktur, pendedahan pertandingan kompetitif serta pemantauan pembangunan prestasi secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










