KOTA BHARU: Empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang gadis dengan 61 kesan tikaman di badannya di Kampung Simah, Ketereh dekat sini, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dua remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan manakala pasangan suami isteri berusia antara 60 tahun dan 66 tahun itu direman tiga hari.
Terdahulu, keempat-empat suspek yang memakai baju oren tiba untuk prosiding reman di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pada pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Sebelum itu, polis dilapor menahan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan gadis tersebut. – UTUSAN









