TELUK INTAN: Seorang murid lelaki berusia 15 tahun, Muhammad Shakir Al-Qayyim Mohd. Firdaus, memerlukan kira-kira RM50,000 bagi menampung kos pembedahan selepas disahkan mengalami injap jantung bocor dan komplikasi hati serta buah pinggang.
Bapanya, Mohd. Firdaus Abu Bakar, 42, berkata, masalah kesihatan itu mula dikesan sejak lima bulan lalu apabila anaknya kerap mengadu sakit dada sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, pada peringkat awal, anaknya hanya diberikan ubat dan dibenarkan pulang, namun keadaan kesihatan remaja itu kian merosot dari semasa ke semasa.
“Kami kemudian ke Klinik Kesihatan Teluk Intan dan doktor mengesyaki anemia serta masalah tiroid sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan keadaan lebih serius.
“Apabila dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, doktor mengesahkan injap kiri jantungnya bocor.
“Kami kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebelum doktor mendapati injap kanan jantungnya turut rosak,” katanya.
Katanya, keadaan menjadi semakin serius apabila anaknya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk pembedahan sebelum dimasukkan semula ke Hospital Teluk Intan selama tujuh hari.
“Selepas itu, dia dirujuk pula ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan doktor mengesahkan tiga injap jantungnya sudah rosak.
“Kini anak saya berada di bawah pemantauan rapi doktor,” katanya.
Menurutnya, dia dan keluarga amat bimbang kerana anaknya dijadualkan menjalani pembedahan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
“Kami sekeluarga berharap pembedahan itu berjalan lancar dan anak selamat,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB atas nama Noratika Binti Ismail di nombor 7028285296. – UTUSAN










