KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Ahnaf menegaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha, hanyalah sekadar sahabat baik.
Menurut Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 25, dia selesa berkawan dengan penyanyi lagu Penat itu yang disifatkan sebagai seorang yang ceria dan disenangi ramai.
“Saya suka berkawan dengan Daiyan. Dia seorang yang sangat ceria dan disenangi sesiapa sahaja.
“Sejujurnya, saya tidak pernah terlintas untuk mempunyai hubungan lebih daripada seorang kawan dengannya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon yang mencuri perhatian menerusi watak Kahar itu tidak menafikan Daiyan memiliki ciri-ciri wanita idamannya, namun menegaskan hubungan mereka hanya terbatas sebagai sahabat buat masa ini.
“Kalau ditanya sama ada dia menepati ciri-ciri wanita idaman saya, ya, memang dia menepati ciri-ciri itu. Tetapi tidaklah lebih daripada itu.
“Cukuplah sekadar persahabatan buat masa sekarang. Saya selesa begini,” katanya.
Terdahulu, keakraban Amir Ahnaf dan Daiyan Trisha mula mencuri perhatian ramai menerusi projek lagu raya Jom Raya yang dinyanyikan bersama.
Malah, baru-baru ini, tular video memaparkan Amir turut menyertai misi Daiyan menghasilkan mentega sendiri sambil berlari, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang merestui hubungan mereka. – UTUSAN










