Tidak guna ‘stuntman’, seratus peratus aksi lakukan pelakon - Pengarah - Utusan Malaysia

Tidak guna ‘stuntman’, seratus peratus aksi lakukan pelakon – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Tarung: Unforgiven, Razaisyam Rashid, 40, menegaskan naskhah arahannya itu tidak menggunakan khidmat pelakon aksi atau ‘stuntman’ sepanjang proses pembikinan.

Menurutnya, kesemua babak aksi dilakonkan sepenuhnya oleh barisan pelakon bagi memastikan elemen realisme dapat disampaikan kepada penonton.

“Dari aspek fizikal, seratus peratus aksi dilakukan sendiri oleh pelakon. Kami tidak menggunakan khidmat ‘stunt’.

“Baik Mierul Aiman, Aedy Ashraf mahupun Ubai, semuanya melalui babak aksi yang benar-benar nyata. Begitu juga watak Dahlia lakonan Azira Shafinaz, air mata yang ditampilkan juga adalah asli, sebagaimana yang saya kehendaki.

“Saya tidak mahu menipu penonton. Semua itu saya tuntut daripada pelakon termasuk Zul Ariffin sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Mid Valley, semalam.

Dalam pada itu, Razaisyam meluahkan rasa syukur apabila kesemua pelakon memberikan komitmen tinggi sepanjang penggambaran tanpa sebarang rungutan.

“Semua pelakon yang terlibat sanggup keluar daripada zon selesa masing-masing.

“Tidak kira siapa lebih besar atau popular, mereka hadir ke set tanpa ego dan memberikan sepenuh komitmen demi menjayakan filem ini,” katanya.

Filem Tarung: Unforgiven mengisahkan perebutan kuasa dalam sebuah organisasi elit dikenali sebagai Marga, yang menyaksikan pertembungan sengit antara ahli-ahlinya.

Selain Mierul Aiman, Aedy Ashraf dan Zul Ariffin, filem ini turut dibintangi Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir serta Sky Iskandar.

Filem ini dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN