PETALING JAYA: Cadangan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 tidak memberi kesan menyeluruh kepada industri sekiranya masalah asas dalam skop pengeluaran padi tidak diselesaikan.
Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata, perkara itu termasuklah dalam aspek kos input, kualiti baja, sistem saliran dan penggunaan benih padi yang lebih memberi kesan langsung kepada pengeluaran serta pendapatan pesawah.
“Kalau perkara asas ini tidak diselesaikan, kenaikan harga tidak akan memberi kesan menyeluruh.
“Bukan soal harga semata-mata, tetapi bahan input seperti baja yang tidak berkualiti perlu diperbaiki. Sistem saliran, pengurusan air hujan dan benih padi juga memainkan peranan penting. Ada keadaan padi tidak menjadi langsung kerana faktor ini.
“Cadangan harga RM3,000 bagi setiap tan metrik adalah tidak realistik sekiranya penambahbaikan terhadap asas industri padi dan beras tidak dilakukan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perikatan Nasional (PN) kelmarin meletakkan janji untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman dberkata, janji tersebut tidak masuk akal dan jika dilaksanakan boleh menyebabkan harga beras melonjak sehingga RM60 bagi 10 kilogram (kg).
Beliau berkata, adalah lebih baik dipertimbangkan kenaikan subsidi harga padi kepada pesawah dari RM500 kepada RM1,500. – UTUSAN










