PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima maklumat dakwaan rasuah berhubung proses penilaian dan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan baru-baru ini.
SPRM berkata, perkara itu kini dalam perhatian suruhanjaya berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut termasuk penelitian terhadap maklumat serta dokumen berkaitan yang diterima.
Menurutnya, SPRM sentiasa memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terutama yang melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
“Isu ini sedang diteliti dan siasatan lanjut akan dijalankan berdasarkan maklumat serta dokumen yang telah diterima oleh SPRM.
“Dalam masa sama, SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, SPRM turut menasihatkan mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa supaya tidak mendedahkan maklumat tersebut kepada pihak lain.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan proses siasatan dan tindakan lanjut yang sedang dijalankan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan sebarang dakwaan dapat disiasat secara telus dan berintegriti,” katanya.
Sebuah portal tempatan semalam melaporkan seorang kontraktor membuat laporan kepada SPRM berhubung isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil bernilai RM24 juta yang dibangkitkan baru-baru ini.
Aduan itu tertumpu kepada dua tender berkaitan persiapan Sukan SEA 2027. Ia melibatkan trek larian baharu dan sistem lantai pelindung yang digunakan semasa konsert serta acara besar.
Kontraktor tersebut membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, Selasa lalu. – UTUSAN










