Sindiket judi bersembunyi di sebalik kedai runcit, kedai telekomunikasi tumpas

Sindiket judi bersembunyi di sebalik kedai runcit, kedai telekomunikasi tumpas

ANGGOTA dari unit penguat kuasa TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik membabitkan premis yang melakukan aktiviti tidak bermoral di sekitar bandar Kluang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sindiket perjudian haram berselindung di sebalik premis perniagaan sah seperti kedai runcit, kedai telekomunikasi dan kedai haiwan peliharaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah kegiatan sindiket itu berjaya dihidu pihak polis setelah membuat serbuan terhadap enam premis perniagaan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama-sama unit penguat kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan serbuan dan pemotongan bekalan elektrik.

Katanya, operasi bersepadu itu dilakukan susulan risikan yang dilakukan serta aduan awam.

“Operasi pemotongan bekalan itu dilakukan selaras dengan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 ke atas mana-mana premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.

“Sejumlah enam premis dikenakan tindakan, namun lebih banyak lagi kedai akan turut diambil tindakan sekiranya masih ada yang berdegil untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Bahrin, operasi tersebut bertujuan membendung orang ramai serta premis-premis daripada terlibat dalam perjudian loteri awam haram atau kegiatan di daerah ini.

Katanya, aktiviti yang menyalahi undang-undang tetap dapat dikesan walaupun berselindung di sebalik aktiviti jualan seperti kedai runcit, alat-alat komunikasi dan menjual barang-barang makanan serta haiwan peliharaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tidak bermoral ini boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN