KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas berdepan ujian getir apabila dua kali berdepan serangan jantung dalam tempoh kurang enam bulan, sekali gus memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Zainon Batin, 66, dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini, sebelum ini menjalani prosedur angioplasti dengan pemasangan dua stent pada saluran jantung tersumbat pada November lalu.
Bagaimanapun, dia sekali lagi diserang penyakit sama pada 20 Mac lepas sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Anak bongsunya, Muhammad Nor Faiz Baharom, 29, berkata, usaha memasukkan stent ketiga ggal berikutan saluran jantung sempit dan keras.
“Hospital memaklumkan prosedur itu berisiko tinggi dan terpaksa ditangguhkan bagi mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar jantung Institut Jantung Negara (IJN) awal bulan ini,” katanya ditemui di rumah mereka di Kampung Gong Tok Nasek.
Muhammad Nor Faiz berkata, pembedahan kedua diketuai pakar jantung IJN, Datuk Dr. Ali Ibrahim Elarabi, gagal berikutan saluran jantung sempit dan tersumbat. Susulan itu, pakar berkenaan mencadangkan ibunya menjalani pembedahan pintasan jantung atau Coronary Artery Bypass Graft (CABG) bagi merawat penyakit arteri koronari yang serius.
“Ia bertujuan membina laluan baharu aliran darah ke jantung menggunakan saluran darah dari bahagian dada.
“Kami tunggu tarikh pembedahan yang sedang diatur pihak HSNZ dan dijangka dilakukan Jun ini, namun beberapa prosedur rawatan awal perlu dilalui terlebih dahulu,” katanya.
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang lokasi pembedahan bagi menjimatkan kos penginapan dan rawatan awal dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM50,000. – UTUSAN











