Sektor minyak dan gas pacu prestasi korporat suku pertama 2026 - Utusan Malaysia

Sektor minyak dan gas pacu prestasi korporat suku pertama 2026

SEKTOR minyak dan gas antara pemacu utama prestasi sektor korporat bagi suku pertama 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas (O&G) muncul sebagai pemacu pasaran paling menonjol dan penyumbang tertinggi kepada prestasi korporat tempatan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

Prestasi luar biasa sektor tersebut disokong kuat oleh persekitaran harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi serta rancaknya aktiviti dalam rantaian industri huluan sepanjang tempoh dikaji.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, dominasi sektor minyak dan gas pada suku pertama ini sememangnya telah dijangka ekoran peningkatan premium risiko geopolitik yang melonjakkan harga komoditi tersebut di pasaran global.

“Walaupun sektor hiliran dan pengguna mula merasai bahang kenaikan kos operasi, kekuatan aktiviti huluan dalam sektor minyak dan gas berjaya menjadi penahan dinding buat pasaran korporat tempatan.

“Namun, syarikat bukan komoditi perlu memperkukuh kecekapan rantaian bekalan mereka dengan segera bagi mendepani cabaran suku kedua yang dijangka lebih mencabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara syarikat O&G yang mencatat keuntungan adalah Petronas Chemical Berhad (PCB) sebanyak RM438.68 juta, Vantris Energy (RM3.7 bilion) dan Hibiscus Energy (RM80.11 juta).

Sementara itu, penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, berdasarkan kemas kini musim laporan kewangan korporat setakat 22 Mei lalu, sektor O&G memamerkan ketahanan paling utuh berbanding sektor-sektor lain di Bursa Malaysia.

“Sektor minyak dan gas menjadi penyumbang utama yang merekodkan keputusan melebihi jangkaan, sekali gus membantu mengimbangi prestasi hambar beberapa industri lain yang terkesan oleh tekanan margin,” katanya.

Sebanyak 52 syarikat di bawah liputan CIMB Securities telah mengumumkan keputusan kewangan mereka bagi suku pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13 peratus atau tujuh syarikat mencatatkan prestasi melebihi jangkaan, 17 peratus (sembilan syarikat) di bawah jangkaan, manakala baki 69 peratus (36 syarikat) memenuhi unjuran yang ditetapkan.

Ini menerjemahkan nisbah keputusan mengatasi banding hambar (beat-to-miss ratio) sebanyak 0.76 kali ganda. 

Walaupun nisbah ini menunjukkan penurunan berbanding 1.33 kali ganda pada suku keempat 2025, ia memaparkan peningkatan ketara berbanding 0.24 kali ganda bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Ivy berkata, keputusan suku pertama ini belum mencerminkan sepenuhnya impak rantaian daripada ketegangan perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran, terutamanya dari segi gangguan rantaian bekalan dan lonjakan kos input.

Berbeza dengan prestasi kukuh sektor O&G, keputusan yang mengecewakan bagi suku ini sebahagian besarnya tertumpu kepada syarikat-syarikat dalam sektor pengguna, perjudian (gaming) dan hartanah akibat tekanan kos yang menjejaskan margin keuntungan.

“Melangkah ke suku kedua 2026, pasaran dijangka berhadapan dengan cabaran lebih besar. 

“Risiko penurunan pendapatan korporat secara menyeluruh mula kelihatan ekoran peningkatan kos pengangkutan dan logistik global serta turun naik harga komoditi yang boleh menghakis margin keuntungan bersih syarikat bukan komoditi.

“Melihat kepada senario pasaran semasa, firma penyelidikan kami mengekalkan pandangan defensif dengan meletakkan saham-saham yang mempunyai ketahanan kos yang tinggi sebagai pilihan utama portfolio pelaburan,” jelasnya. 

CIMB Securities mengekalkan sasaran akhir tahun FBM KLCI pada paras 1,754 mata. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN