KUALA LUMPUR: “Selalunya, yang hebat sahaja akan diuji.”
Demikian respon Sarimah Ibrahim terhadap komen netizen menganggap penyanyi itu bersikap berat sebelah terhadap peserta Talk To My Manager 2 (TTMM2), Hussain Jamilul Hayat menerusi persembahannya menyampaikan lagu Dinda malam tadi.
Menurut Sarimah, 48, apa yang dikatakan netizen itu bercanggah dengan pendirian sebenarnya yang menyukai suara Hussain.
“Terima kasih kerana bertanya. Kita dengar pasukan produksi berbincang dengan pengurus artis dan barisan juri.
“Saya tidak membuat keputusan sendiri. Bahkan sebelum segmen itu, kita sudah diterangkan oleh pasukan produksi mengenainya.
“Sepatutnya semua diuji. Tapi, selalunya yang hebat sahaja akan diuji. Kita tengok sehebat mana persembahan Hussain, saya suka suara dan tonanya,” balas sarimah.
Terdahulu seorang pengguna Threads, yang memetik nama Sarimah di platform tersebut, mempersoalkan kewajaran lagu Dinda untuk persembahan Hussain yang tidak mencabar vokalnya.
Individu berkenaan turut memetik tindakan Sarimah yang menganggap Hussain berada di zon selesa.
Dalam perkongsian berlainan, Sarimah memberitahu juri tidak berhak memilih lagu untuk peserta TTMM2 dan pada masa sama, tidak menentukan kedudukan tiga tercorot setiap minggu.
“Pemilihan (lagu) yang diberi pada juri telah dibuat awal dan kami hanya menyampaikan info tersebut.
“Siapa ‘bottom three’ juga juri tak akan tahu. Saya tidak dapat melihat markah yang diberikan juri lain. Siapa yang tinggi pun kita hanya tahu sehingga program habis,” kongsinya.










