JOHOR BAHRU: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, masih terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta walaupun mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen sebelum keluar parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, mereka menyertai parti baharu sehari sebelum kedua-dua bekas pemimpin parti itu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, semalam.
Katanya, tindakan itu boleh dianggap lompat parti terlebih dahulu sebelum pengosongan kerusi dibuat, sekali gus menyebabkan syarat bon parti masih berkuat kuasa.
Susulan itu tegas beliau, bon RM10 juta yang dikenakan sebelum ini, masih terpakai kepada mereka dan penasihat undang-undang PKR akan meneliti perkara itu sebelum memutuskan sama ada akan menyaman kedua-dua mereka bagi menuntut penalti tersebut.
“PKR ada bukti bahawa kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan dipercayai sudah menyertai Parti Bersama Malaysia (MUP) lebih awal berdasarkan maklumat di laman sesawang parti berkenaan.
“Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan bahawa pada 18 hari bulan, iaitu hari ini (semalam) mereka akan kosongkan kerusi Parlimen masing-masing, dan pada 19 hari bulan, mereka akan keluar parti.
“Itu cara mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk parti Bersama. Dalam website Bersama, timestamp (pendaftaran) pada 17 hari bulan,” katanya pada Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, di sini semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, Akta Anti Lompat Parti masih terpakai kerana mereka dipercayai telah mendaftar untuk memasuki parti politik lain sebelum mengosongkan kerusi Parlimen secara rasmi.
“Kalau ikut dasar Perlembagaan parti, mereka sudah pun lompat parti pada 17 hari bulan, iaitu sebelum mereka mengosongkan kerusi pada hari ini. Jadi penasihat undang-undang kami akan kaji perkara tersebut sebelum sebarang tindakan dibuat terhadap mereka berdua,” katanya.
Sementara itu, kata Fuziah, Biro Politik PKR akan bincangkan sama ada tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap lima lagi Ahli Parlimen PKR yang bergambar bersama Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi dalam program pengumuman mereka di Petaling Jaya, semalam.
Ahli Parlimen berkenaan ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Kelmarin Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan mereka akan mengambil alih parti Bersama dan akan bertanding di kawasan Parlimen masing-masing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi tidak terikat dengan bon RM10 juta yang dikaitkan dengan PKR susulan keputusan mereka meninggalkan parti itu.
Langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu menjadi faktor utama mereka tidak tertakluk kepada tindakan berkenaan.
Ini berikutan, bon itu hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR. – utusan









