PETALING JAYA: Ketika negara sedang mengharungi gelombang krisis bekalan global, dua bekas menteri, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Tindakan itu bagi membolehkan mereka mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai wadah politik baharu selepas tewas dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Mohd. Rafizi yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR berkata, pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, pengambilalihan Bersama dibuat selepas pertimbangan dilakukan sejak setahun lalu bagi menawarkan platform baharu dan menampilkan idea tanpa kompromi.
“Kami juga tahu bahawa mendaftarkan parti baharu tidak akan diluluskan. Jadi yang kami buat sejak setahun lalu adalah kami mendaftarkan beberapa parti sebagai decoy (umpan), supaya yang berkuasa di Putrajaya gelakkan kami kerana mereka ingat langkah kami tidak akan ke mana kerana mereka tidak luluskan.
“Pada masa yang sama, kami teliti parti-parti kecil yang sedia ada dan mula berbincang jika ada kesepadanan niat dan idea. Alhamdulillah, saya sangat-sangat berterima kasih Pengasas Bersama, Tan Gin Theam kerana faham dengan niat kami dan benar-benar menyokong hasrat kami,” katanya ketika berucap di PJ Performing Arts Center di sini, semalam.
Mohd. Rafizi berkata, beliau tidak akan mengubah nama Bersama, sebaliknya akan terus mengekalkan identiti asalnya.
“Kita juga mahu menghidupkan budaya politik muhibah yang menghargai setiap rakyat Malaysia dan mahu membina masa depan generasi baru secara bersama,” katanya.
Katanya, Bersama akan bertanding dalam PRU16 bagi menentang parti-parti besar di arena politik negara termasuk PKR.
“Insya-Allah di mana-mana yang kami rasa ada keperluan untuk bertanding, Bersama akan menawarkan diri untuk bertanding dalam siri pilihan raya yang akan datang.
“Kita tidak kira sama ada kalau sekarang itu kerusi PKR, kita akan lawan. Kalau kerusi itu kerusi DAP dan ada keperluan, kita lawan. Kalau kerusi itu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga kita akan lawan,” katanya.
Pada Mei 2025, Mohd. Rafizi selaku Menteri Ekonomi mengumumkan meninggalkan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan PKR.
Tindakan itu kemudiannya disusuli Nik Nazmi selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, keanggotaan kedua-duanya tergugur selepas mengisytiharkan keluar parti semalam.
Beliau berkata, parti telah menerima rakaman ucapan Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi yang mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing serta keluar daripada parti. – UTUSAN










