PETALING JAYA: Prospek ekonomi Malaysia bagi suku ketiga tahun ini dijangka bergerak pada momentum yang sederhana, mencerminkan kesan risiko ketidaktentuan global serta tekanan inflasi yang masih berpanjangan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, unjuran itu bersandarkan kepada prestasi Indeks Pelopor (IP) yang hanya meningkat 0.5 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026, dengan mencatatkan 113.3 mata berbanding 112.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, trend arah aliran jangka panjang terlicin bagi indeks tersebut juga kekal berada di bawah 100 mata.
“Peningkatan tahunan indeks ini dipacu oleh pengembangan tiga daripada tujuh komponen utamanya, dengan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 32.3 peratus.
“Bagaimanapun, pertumbuhan keseluruhan indeks ini agak terhad ekoran penyusutan Import Benar Semi Konduktor sebanyak 22.6 peratus, yang selari dengan permintaan luaran yang lebih perlahan ketika ini,” katanya dalam kenyataan.
Bagi prestasi bulan ke bulan pula, momentum IP merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.1 peratus yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penyederhanaan dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain pada kadar negatif 0.9 peratus.
Meskipun berdepan dengan pelbagai kejutan dan ketidaktentuan pasaran luaran, aktiviti ekonomi domestik yang kukuh serta kemasukan pelaburan yang berterusan akan kekal menjadi tunjang sokongan kepada ekonomi negara.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa memaparkan kedudukan yang lebih rancak apabila meningkat 2.0 peratus tahun ke tahun kepada 130.4 mata pada Mac 2026 berbanding 127.9 mata pada Mac tahun lalu.
Sokongan utama kepada pertumbuhan IS itu disumbangkan oleh Nilai Caruman Benar dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melonjak 16.4 peratus, diikuti oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit pada kadar 5.0 peratus.
Selari dengan trend tahunan, prestasi bulanan IS turut mencatatkan peningkatan 0.8 peratus, yang mana ia juga disumbangkan oleh komponen Nilai Caruman Benar KWSP sebanyak 0.9 peratus. – UTUSAN










