KUALA LUMPUR: Produk hasil keluaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah AS$100 juta akan dipasarkan di rangkaian Lulu Hypermarket di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, produk tersebut akan mula menembusi pasaran berkenaan pada Julai nanti selepas persetujuan pemilik rangkaian pasar raya tersebut, Sheikh Yusuff Ali dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Katanya, sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pengurusan tertinggi Mara untuk segera menyelaras produk-produk usahawan bimbingannya bagi memenuhi permintaan pasaran dunia, khususnya di rantau Asia Barat menerusi rangkaian pasar raya tersebut.
“Saya menyatakan kepada beliau (Sheikh Yusuff Ali) di depan Perdana Menteri, jangan lihat kanan, jangan lihat kiri, mesti bekerjasama dengan Mara untuk membeli produk-produk halal ini untuk pasaran dunia.
“Beliau mahu melakukannya mulai 1 Julai tahun ini juga bagi memasarkan produk-produk tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal Mara di sini, hari ini.-UTUSAN










