Pepper Western, Ruma.Pasta bukti kegigihan Hanim dan suami

Pepper Western, Ruma.Pasta bukti kegigihan Hanim dan suami

NOOR Ernyza Hanim Mohamad Eljibra menunjukkan menu hidangan Barat yang menjadi pilihan pelanggan di restoran mereka. – MINGGUAN /SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan menjual laksa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siapa sangka pasangan muda dari Pulau Pinang ini berjaya mengusahakan dua outlet makanan Barat iaitu Pepper Western dan Ruma.Pasta di Bayan Baru yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Bagi Noor Ernyza Hanim Mohamad Eljibra, 32, perjalanan dalam dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia pernah mengalami kejatuhan apabila empat butik pakaian miliknya terpaksa ditutup sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya, ketika itu dia berdepan cabaran besar apabila perlu menanggung kos sewa premis dalam keadaan perniagaan yang tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Waktu PKP saya ada butik pakaian. Empat kedai semuanya terpaksa ditutup sebab kos sewa premis tinggi dan keadaan masa itu memang susah. Dari situ, saya berbincang dengan suami untuk cuba berniaga makanan pula,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Noor Ernyza Hanim atau lebih mesra dipanggil Hanim berkata, suaminya, Muhammad Shahrul Nizam Kamarudin, 35, turut memainkan peranan besar dalam membantu membina semula kehidupan mereka melalui bidang makanan dan minuman (F&B) dan idea menjual laksa menjadi taruhan mereka.

“Kami mula dengan buat 10 bungkus laksa sahaja sebab tidak sangka sambutan akan jadi besar. Tapi hari pertama jualan terus habis hampir 150 bungkus. Dari situ kami nampak potensi dalam bidang makanan,” ujarnya.

Hanim berkata, kejayaan jualan laksa itu kemudian menjadi titik permulaan buat dia dan suami untuk terus serius dalam bidang perniagaan makanan.

“Selepas beberapa tahun mengusahakan perniagaan laksa, kami mengambil keputusan mencuba sesuatu yang baharu dengan meneroka minat dalam makanan Barat pula.

Menurut Hanim, sebelum membuka restoran Pepper Western Pasta dan Ruma.Pasta, mereka terlebih dahulu mengikuti kelas masakan di Kuala Lumpur bagi mempelajari teknik penyediaan makanan Barat secara lebih profesional.

 

 

“Kami memang ada sedikit pengalaman dalam F&B sebab suami pernah buat katering sebelum ini. Tetapi untuk masakan Barat, kami pergi belajar dulu sebab setiap jenis masakan ada teknik berbeza,” katanya.

Tambahnya, mereka mengikuti kelas bersama cef terkenal di Kuala Lumpur bagi mendalami penyediaan menu Barat khususnya pasta dan sos premium.

“Restoran makanan Barat pertama kami iaitu Pepper Western Pasta mula beroperasi pada Disember 2024 di Bayan Baru. Pada peringkat awal, restoran ini hanya mempunyai tiga pekerja termasuk kami berdua.

“Saya dan suami sendiri yang masak. Seorang pekerja jaga bahagian plating dan seorang lagi urus pelanggan. Masa mula buka memang semuanya kami buat sendiri,” katanya yang memberitahu, ketika ini, mereka mempunyai lapan pekerja yang majoritinya terdiri daripada golongan muda.

Mengenai menu pula, Hanim berkata, restoran mereka kini menawarkan kira-kira 20 jenis makanan Barat dan 25 jenis minuman dan antara menu paling popular adalah Pasta Gigi Hadid dan Spaghetti Squid Ink Smoky Creamy Beef dan keistimewaan menu tersebut terletak pada penggunaan sos buatan sendiri yang disediakan segar setiap hari.

“Kami memang tidak guna sos ‘ready-made’. Semua sos dibuat sendiri setiap hari supaya rasa lebih segar dan berkualiti. Itu yang membezakan menu kami dengan tempat lain dan pelanggan turut memberikan maklum balas positif terutama terhadap rasa pasta dan keunikan sos yang digunakan,” katanya.

Tambahnya, setiap komen pelanggan termasuk kritikan akan dijadikan panduan untuk menambah baik mutu makanan selain membaiki mutu perkhidmatan.

“Menu makanan di restoran dijual pada harga serendah RM25 manakala menu paling mahal iaitu steak premium mencecah RM78.90. Selain makanan, kami turut memberi perhatian kepada pembangunan menu minuman khususnya kopi.

“Kami sedang buat lebih banyak R&D untuk kopi supaya dapat hasilkan rasa yang lebih baik dan unik,” katanya yang memaklumkan outlet kedua iaitu Ruma.Pasta pula mula dibuka September tahun lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN