Pengurangan RM5.4 Bilion, langkah berani kekang pembaziran - Utusan Malaysia

Pengurangan RM5.4 Bilion, langkah berani kekang pembaziran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kerajaan mempertimbang pengurangan perbelanjaan di sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebanyak RM5.4 bilion disifatkan sebagai langkah berani bagi mengekang pembaziran, bukannya pemotongan terhadap peruntukan kebajikan rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin berkata, tindakan itu merupakan strategi fiskal dalam mendepani lonjakan kos subsidi bahan api negara yang kini mencecah sekitar RM5 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebulan pada awal tahun lalu.

Katanya, langkah merasionalisasikan semula struktur perbelanjaan subsidi juga amat signifikan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara tanpa menjejaskan keperluan asas rakyat.

“Kerajaan meletakkan kestabilan ekonomi sebagai keutamaan tanpa mengusik perkhidmatan teras.

“Hospital kekal beroperasi seperti biasa, bantuan tunai diteruskan dan kebajikan rakyat kekal menjadi benteng utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan kini menanggung beban subsidi bahan api mencecah kira-kira RM5 bilion sebulan dan berpotensi meningkat kepada lebih RM6 bilion sekiranya harga minyak global melonjak tinggi.

Menteri Kewangan itu turut berkata, jumlah subsidi ditanggung kerajaan itu melonjak tinggi berbanding sekitar RM700 juta pada Januari lalu, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

Tekanan kenaikan mendadak subsidi bahan api ekoran krisis tenaga global berpunca konflik perang Asia Barat turut menyebabkan Kementerian Kewangan pada minggu lalu mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, Bryan Ng berkata, pengurangan perbelanjaan itu hakikatnya sekadar tertumpu kepada komponen tidak kritikal seperti kos pentadbiran dan protokol termasuk pengurangan majlis rasmi, lawatan luar negara serta penggunaan kaedah pendigitalan bagi bahan promosi.

“Pendekatan sama turut melibatkan pelaksanaan latihan dan seminar secara dalam talian serta penangguhan pengisian jawatan sokongan bukan kritikal.

“Bagaimanapun, tlangkah tersebut tidak melibatkan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan termasuk jawatan doktor, jururawat dan guru,” katanya.

Katanya lagi, peruntukan yang tidak akan dipotong merangkumi rawatan hospital, bekalan ubat-ubatan, biasiswa, pinjaman PTPTN, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan golongan B40, gaji penjawat awam serta perkhidmatan harian rakyat.

Tambahnya, rasionalisasi ini mencerminkan disiplin fiskal yang bertanggungjawab, selain bertujuan menyingkirkan pembaziran dan pertindihan projek agar setiap ringgit hasil cukai rakyat dibelanjakan secara lebih efisien dan berintegriti.

Bryan Ng turut mencadangkan beberapa langkah bagi memperkukuh pelaksanaan dasar fiskal negara termasuk memperluas kerjasama awam-swasta (PPP), menggalakkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tanggungjawab sosial, serta meningkatkan ketelusan melalui laporan penjimatan berkala.

“Langkah ini membuktikan kerajaan lebih rela mengikat perut di peringkat pentadbiran daripada membiarkan rakyat menanggung beban.

“Ini asas kepada pembinaan negara yang lebih mampan dengan kebajikan rakyat sebagai kompas utama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN