PETALING JAYA: Pengarah, Zulkarnain Azhar, berkongsi pengalaman misteri yang dilalui ketika menjalani penggambaran filem Polong di sebuah flat kosong di Selangor.
Menurut Zulkarnain, 44, kejadian tersebut disedari kru produksi apabila muncul satu kelibat menyerupai lembaga sedang berdiri di tingkap sebuah rumah bersebelahan lokasi penggambaran.
“Ketika penggambaran filem Polong, berlaku satu kejadian agak misteri. Kami menyedari ada bayang seperti lembaga berdiri di belakang tingkap rumah sebelah.
“Apa yang pelik, kelibat itu hanya muncul dalam satu rakaman sahaja. Selepas itu, apabila kami melakukan rakaman seterusnya, bayangan tersebut terus hilang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Tambahnya, situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan kru dan pelakon sehingga mereka mengambil keputusan memeriksa rumah tersebut.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati kediaman itu benar-benar kosong tanpa penghuni.
“Kami pergi memeriksa rumah sebelah kerana mahu mengetahui siapa yang berada di dalamnya. Namun apabila diperiksa, rumah itu memang kosong dan tiada sesiapa.
“Sehingga hari ini, kejadian itu kekal menjadi misteri buat semua yang berada di lokasi penggambaran ketika itu,” ujarnya.
Polong mengisahkan seorang wartawan jenayah, Fatima lakonan Mimi Lana, yang berusaha membongkar kisah silam seorang bomoh wanita bersiri dikenali sebagai Maria Hadi.
Naskhah tersebut turut diinspirasikan daripada kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara pada tahun 1993.
Filem itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini. -UTUSAN










