Pembangkang pertikai ketelusan akaun CMI, tuntut penjelasan kerajaan negeri

Pembangkang pertikai ketelusan akaun CMI, tuntut penjelasan kerajaan negeri

MUHAMMAD Fauzi Yusoff ketika sidang DUN Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Isu berkaitan ketelusan pengurusan kewangan melibatkan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) kembali dipersoalkan apabila pembangkang mendakwa masih wujud kelemahan dalam pembentangan serta pengauditan akaun entiti berkenaan yang mengurus hasil jutaan ringgit.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) mendakwa, CMI telah mengurus sebanyak 71 projek bagi tahun 2024 dan 2025 selain menjana hasil melalui sewaan serta pajakan tanah di bawah pengurusan CMI dan State Secretary Incorporated (SSI) berjumlah RM8.43 juta sehingga 30 September 2025.

Menurut beliau, sehingga kini masih belum terdapat akaun yang jelas serta diaudit secara menyeluruh bagi membolehkan semakan telus dilakukan terhadap pengurusan dana tersebut.

“Berdasarkan pindaan Enakmen Perbadanan Ketua Menteri (CMI), perbadanan itu diwajibkan menyimpan akaun dan rekod kewangan yang sempurna serta menyediakan penyata akaun bagi setiap tahun kewangan.

“Ketua Menteri hendaklah menyebabkan satu salinan setiap penyata dan pandangan Ketua Audit Negara dibentangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun mendakwa bahawa perkara tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya apabila laporan penyata serta pandangan Ketua Audit Negara berkaitan akaun berkenaan masih belum dibentangkan di DUN sehingga kini.

“Bagaimana mungkin sebuah entiti yang mengurus hasil negeri bernilai jutaan ringgit boleh beroperasi tanpa ketelusan kewangan yang sewajarnya? Ini bukan soal persepsi, tetapi soal prinsip asas tadbir urus,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, pihaknya turut bimbang dengan struktur pengurusan CMI yang disifatkan terlalu kabur daripada pengetahuan umum walaupun melibatkan aset dan tanah kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN