Pemandu Hilux direman, disyaki simpan dadah selepas rempuh pejalan kaki dan kedai

Pemandu Hilux direman, disyaki simpan dadah selepas rempuh pejalan kaki dan kedai

LOKASI kedai perkakasan yang dirempuh sebuah pacuan empat roda  dipandu seorang lelaki menyebabkan seorang pejalan kaki cedera di Jalan Besar di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan khayal vape mushroom sehingga merempuh seorang pejalan kaki dan sebuah premis perniagaan di Jalan Besar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa pejalan kaki berusia 68 tahun mengalami kecederaan ringan pada lutut kiri dan tangan kanan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Ketua Polis daerah, Asisten  Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati, pemuda berkenaan sebelum itu memandu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke bandar Kuantan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian di hadapan sebuah kedai perkakasan, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pejalan kaki serta premis perniagaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan satu botol plastik disyaki mengandungi dadah jenis sintetik MDMA,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ashari, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuantan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

“Keputusan ujian saringan urin adalah negatif, namun suspek diserahkan kepada Bahagian Narkotik IPD Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kata beliau, suspek dipercayai memandu dalam keadaan khayal dipercayai mushroom vape yang mana bahan itu tidak boleh dikesan melalui ujian air kencing.

Katanya, kes kemalangan itu pula disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN