GUA MUSANG: Seorang pekerja gudang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar kawasan berlubang sebelum terbabas di Jalan Kampung Kerinting, di sini kelmarin.
Muhammad Ashraff Rosmadi, 23, meninggal dunia pada pukul 10.38 malam tadi di Hospital Gua Musang di sini, selepas hampir 23 jam bertarung nyawa di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Lama menuju ke Kampung Kundur kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar lubang di atas jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut.
“Selepas hampir 23 jam bertarung nyawa di hospital, Muhammad Ashraff akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.38 malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – UTUSAN










